Skip to main content

4 Petua Untuk Melawan Penyakit Gusi

Penyakit gusi adalah jangkitan mulut yang disebabkan bakteria tebal yang melekat pada gusi dan gigi. Menghapuskan penyakit gusi bermula dengan mengetahui jenis penyakit yang anda alami. Jika gusi anda bengkak atau darah kelihatan di dalam sinki apabila anda memberus gigi, anda mungkin mengalami gingivitis. Jika dibiarkan dan anda mengalami kerosakan gusi dan tulang yang teruk, ia mungkin telah melarat menjadi periodontitis. Apa-apa pun, anda perlu bertekad untuk mengamalkan rutin baharu bagi menyelesaikannya, iaitu dengan menggabungkan amalan memberus gigi, flos dan berkumur.

1. Amalkan Rutin Yang Lebih Baik untuk Mulut Anda

Penyakit gusi selalunya terjadi apabila kita kurang serius dalam penjagaan mulut kita. Pada peringkat awal penyakit gusi, penyelesaiannya cukup dengan hanya memperbaik rutin anda untuk menghilangkan kotoran. Memberus gigi selepas makan, flos dan berkumur dengan Pengkumur Mulut dua kali sehari boleh menghentikan gingivitis. Jadualkan juga pemeriksaan dengan doktor gigi kerana apabila plak telah menjadi tartar, ia hanya boleh dihapuskan dengan pembersihan profesional. Penyakit gusi peringkat awal boleh dicegah jika anda bertindak segera.

2. Bersihkan dengan Menyeluruh

Jika amalan kesihatan mulut yang dipertingkatkan tidak memulihkan simptom penyakit gusi, anda mungkin sedang mengalami jangkitan lanjutan dengan pembentukan poket bakteria yang dalam dan sukar dicapai di pangkal gigi anda. Pembersihan mendalam oleh doktor gigi atau pakar periodontik setiap 6 bulan sekali adalah cara terbaik untuk menghapuskan tartar dari mulut anda.

3. Dapatkan Ubat Sokongan

Jika masalah berterusan, anda mungkin akan dipreskripsikan antibiotik untuk menghapuskan sepenuhnya mikroorganisma penyebab jangkitan di dalam mulut anda. Antibiotik ini boleh jadi gel topikal untuk disapu pada poket atau ruang di antara gusi dan gigi, atau kumuran antibiotik.

4. Serahkan kepada Pakar

Untuk merawat penyakit gusi peringkat lanjutan, doktor gigi mungkin akan mengesyorkan salah satu atau gabungan beberapa jenis pembedahan gusi untuk menghapuskan poket bakteria dan keradangan. Pilihan yang ada termasuklah pembedahan kelepet (dengan gusi dibedah dan diselak daripada gigi, tartar dibuang dan gusi kemudian dijahit semula di sekeliling gigi); cantuman tisu lembut (bagi menggantikan gusi yang haus untuk menutup akar gigi yang terdedah); cantuman tulang (bagi menggantikan tulang yang hilang dengan cantuman daripada manusia atau haiwan, atau malahan bahan ciptaan manusia); dan pertumbuhan semula tisu (untuk cuba menumbuhkan kembali tulang yang hilang). Semua prosedur ini serumit bunyinya, oleh itu anda mungkin ingin mengelakkannya kalau boleh.