Skip to main content

5 Tanda Anda Mengalami Penyakit Gusi

Mengabaikan sedikit titisan darah di dalam sinki selepas memberus atau memflos mungkin bukan isu pada mulanya. Akan tetapi, tanda sebegini perlu diperhatikan kerana ia antara tanda awal penyakit gusi yang boleh dirawat dan disembuhkan. Jika dibiarkan, penyakit gusi yang ringan ini boleh merebak ke peringkat lanjutan, yang akan merosakkan tulang dan tisu yang memegang gigi anda pada tempatnya. Berwaspadalah terhadap lima tanda yang paling nyata ini yang disampaikan oleh badan anda untuk mengekalkan kesihatan mulut anda.

#1 Anda Nampak Warna Merah

Merah adalah warna amaran bagi bahaya. Maka, jika anda melihat gusi yang kemerah-merahan atau keunguan dalam cermin, ia mungkin petanda bahawa gusi anda bermasalah. Gusi yang sihat adalah pejal dan berwarna merah jambu muda. Bakteria boleh menyebabkan gusi bengkak yang dikenali sebagai gingivitis, suatu penyakit gusi ringan peringkat awal. Ia juga boleh menyebabkan periodontitis iaitu penyakit lanjutan yang lebih serius.

#2 Gusi Anda Membengkak

Pada peringkat awal penyakit gusi, gusi anda juga boleh membengkak apabila ia meradang. Ini adalah petanda bahawa anda perlu mula mengamalkan rutin penjagaan mulut yang lebih baik.

#3 Anda Nampak Darah di dalam Sinki

Melihat darah di dalam sinki apabila anda meludah selepas memberus atau memflos adalah satu lagi simptom. Gusi yang mudah berdarah menandakan penyakit gusi peringkat awal.

#4 Gusi Anda Mengecut dan Mula Menjauh dari Gigi Anda

Jika gigi anda mulai kelihatan lebih besar daripada biasa, dan anda perasan gusi yang mulai mengecut atau gusi yang menjauh dari gigi anda, ini juga tanda klasik penyakit gusi peringkat awal atau periodontitis. Ia bukan sebahagian daripada proses penuaan semula jadi.

#5 Mulut Anda Berbau

Mulut berbau, atau rasa yang amat kurang menyenangkan di dalam mulut anda, juga mungkin tanda awal penyakit gusi. Pengumpulan plak pada lidah biasanya adalah punca mulut berbau.

Perubahan lain di dalam mulut anda akibat penyakit gusi boleh termasuk gusi yang sensitif apabila disentuh, ruang-ruang pelik yang mula terbentuk di antara gigi, gigi longgar atau perubahan pada cara anda menggigit atau pada kedudukan gigi-gigi anda apabila anda menggigit. Ini adalah tanda yang tidak boleh diabaikan. Jika anda mengawal situasi gusi anda, anda mungkin masih ada peluang untuk mengelak penyakit gusi lanjutan.