5 PERKARA YANG PERLU DIKETAHUI TENTANG PENYAKIT GUSI
Apakah itu Gingivitis?
Gingivitis adalah penyakit gusi tahap awal yang biasa dialami di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan bahawa 1 antara 4 orang dewasa mengalami salah satu jenis jangkitan bakteria ini, dengan 15 hingga 20 peratus daripadanya menderita tahap yang teruk.
Apakah Tanda-tanda Gingivitis?
Kita mungkin mudah terlepas pandang tanda-tanda penyakit gusi. Menurut suatu persatuan pergigian profesional, hanya 10% orang dewasa yang mengalami penyakit gusi ini menyedarinya. Namun jika gusi anda bengkak atau mudah berdarah apabila diberus atau diflos, anda mungkin mengalami gingivitis. Ketiadaan rasa sakit apabila mengalami gingivitis adalah sebab ramai orang terlepas pandang penyakit ini.
Apakah Punca Gingivitis?
Punca paling biasa adalah teknik dan penjagaan mulut di rumah yang kurang sempurna. Apabila memberus, memflos dan berkumur tidak diamalkan setiap hari, bakteria dari sisa makanan akan terkumpul dan membentuk lapisan tebal yang dikenali sebagai plak yang boleh membawa kepada tartar dan lama-kelamaan menghakis gigi.
Bolehkah Gingivitis Dicegah?
Rutin pembersihan mulut yang baik dan berkesan yang termasuk pemberusan dan memflos gigi dua kali sehari, mampu memulihkan penyakit gusi peringkat awal yang dikenali sebagai gingivitis. Menjadualkan pemeriksaan gigi sekali setiap enam bulan juga mustahak untuk memastikan kebersihan dan kesihatan mulut anda. Ini kerana tartar yang terkumpul hanya dapat dibuang menggunakan peralatan profesional di klinik doktor gigi.
Bagaimanakah Gingivitis Dirawat?
Langkah paling mustahak dalam merawat gingivitis adalah dengan memberi perhatian kepada gejala yang kelihatan tidak memudaratkan seperti sedikit titisan darah di dalam sinki semasa anda memflos atau memberus gigi, atau kerengsaan gusi yang kelihatan merah dan/atau bengkak. Jika simptom-simptom ini muncul, buat temu janji dengan doktor gigi anda untuk mengenal pasti puncanya dan memeriksa gigi serta gusi anda. Doktor gigi anda mungkin mencadangkan amalan penjagaan di rumah untuk gigi anda, termasuklah menambah penggunaan kumuran antiseptik dalam rutin anda. Jika kumpulan bakteria telah terbentuk di sekeliling gigi dan gusi mula menyusut dari gigi, anda mungkin perlu melakukan pembersihan dalaman yang akan dibuat doktor gigi atau pakar periodontik (doktor gigi dengan pengkhususan dalam kesihatan gusi). Walaupun begitu, penyakit gusi ringan di peringkat awal sebegini masih boleh dicegah. Namun, jika ia tidak dirawat dan tidak diberikan perhatian, gingivitis boleh melarat menjadi penyakit gusi peringkat lanjutan (periodontitis), yang menjadi penyebab utama kehilangan gigi di kalangan orang dewasa.