Bagaimana Biofilem Menjadi Penyakit Gusi
Biofilem adalah lapisan bakteria yang nipis dan licin yang melekat pada permukaan dalam mulut seperti lidah, gusi dan gigi. Kita semua ada biofilem ini, termasuklah pemberus gigi tegar serta mereka yang rajin berkumur dan memflos gigi. Ini kerana lapisan filem lekit ini melekat pada hampir semua permukaan yang basah (dan ia berlaku pada alam semula jadi juga: seperti batu licin, atau badan kapal yang licin).
Anda boleh mengurangkan biofilem ini jika anda kerap memberus gigi, memflos dan berkumur. Namun apabila tabiat memberus dan memflos gigi serta berkumur ini kurang diamalkan, biofilem ini boleh terbina dan menjadi plak gigi yang boleh dilihat dengan mata kasar (ia biasanya berwarna kuning pucat).
Biofilem yang tebal boleh menyebabkan sakit gusi dan mencetuskan tindakbalas keradangan badan. Ia menyebabkan gusi kelihatan merah dan bengkak dan bukan seperti warna merah jambu dan pejal seperti kelazimannya. Jika tidak dirawat, gingivitis iaitu penyakit gusi peringkat awal yang boleh dipulihkan sepenuhnya apabila tindakan segera diambil, boleh berubah menjadi penyakit gusi yang serius yang dikenali sebagai periodontitis yang boleh menjangkiti tulang.