Apa Itu Halitosis
Halitosis yang juga dikenali sebagai mulut berbau yang kronik adalah satu keadaan apabila seseorang itu mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan dari mulutnya. “Nafas pagi” yang dialami kebanyakan orang apabila bangun tidur setiap hari bukanlah halitosis. Begitu juga dengan mulut berbau selama lima minit yang anda alami selepas menikmati makanan eksotik yang kaya dengan rempah-ratus sekali-sekala. Halitosis sebenar adalah bau berterusan yang tidak hilang walaupun selepas memberus, memflos dan berkumur. Ia boleh memalukan dan menjejaskan keyakinan diri begitu sekali sehingga menyebutnya kepada doktor gigi pun mereka enggan. Namun ia juga dialami oleh banyak orang dan boleh dirawat.
Ada beberapa punca halitosis, dengan 80% daripadanya oral: kaviti, penyakit gusi, tampalan merekah dan gigi palsu kurang bersih adalah punca-punca yang disyaki. Diet juga turut menjadi punca. Diet tinggi protein/rendah karbohidrat, makanan berasid, gula-gula, dan tentunya pengambilan berterusan bawang merah dan bawang putih akan menyebabkan nafas anda berbau seperti susu masam. Begitu juga pengambilan kopi dan alkohol secara berlebihan. Risiko yang dihadapi oleh pengguna tembakau lebih tinggi lagi.
Walaupun jarang-jarang, penyakit paru-paru, kanser tertentu dan jangkitan tonsil juga diketahui sebagai punca halitosis. Begitu juga dengan kecelaruan darah serta penyakit buah pinggang dan paru-paru. Punca daripada segi perubatan yang lebih lazim adalah diabetes kerana tahap gula yang turun naik, refluks asid dan titis postnasal. Malah jangkitan resdung yang lazim juga boleh menjejaskan nafas anda dengan lendir yang terkumpul.
Oleh sebab kebanyakan masalah halitosis berpunca dari dalam mulut, langkah pertama yang perlu dilakukan adalah menyemak kembali cara asas anda memberus gigi dan berkumur. Walaupun memberus gigi itu amat penting, anda masih perlu memberikan perhatian kepada lidah. Inilah tempat bakteria bersarang yang menyebabkan masalah nafas berbau. Berus lidah, kemudian flos dan berkumur. Ingat, memberus gigi hanya membersihkan 25% daripada mulut anda. Amalkan berkumur untuk membersihkan seluruh mulut anda.
Jika didapati tiada perubahan, langkah seterusnya adalah berjumpa doktor gigi anda. Jangan takut atau malu untuk berkongsi rahsia anda dengan seorang profesional yang berlesen. Mereka berkemungkinan besar mampu membuat diagnosis dan merawat punca masalah nafas anda.